logoFarmasi2
Friday, 26 April 2024
17 Shawwal 1445
  • CNY 2024
  • ISRAK DAN MIKRAJ
  • exam
  • industrial -prof greg
  • HNY2024

Faculty News & Activities

Announcement

News

PAMERAN UBAT-UBATAN DI SK BETING LINTANG

PAMERAN UBAT-UBATAN DI SK BETING LINTANG

BESUT, 26 Jun 2022 - Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah dijemput oleh pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Beting Lintang, Besut (SKBL) untuk membuat pameran ubat-ubatan, peralatan penyediaan ubat dan beberapa kelengkapan health screening seperti stethoscope, tensimeter digital dan termometer. Pameran ini dijalankan dengan bantuan sembilan orang pelajar Fakulti Farmasi dan diiringi oleh dua orang pensyarah.

Pameran ini diadakan sebagai aktiviti sampingan sempena Majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SKBL yang dihadiri oleh para pelajar, ibubapa dan guru-guru. Sebanyak empat buah gerai pameran yang disediakan terdiri daripada pameran utama yang menyediakan beberapa kelengkapan health screening, pameran syrup compounding station yang menyediakan demonstrasi teknik penyediaan ubat cecair, pameran insulin and injection station yang mempamerkan ubat insulin dan teknik menggunakannya serta pameran tablet and capsule station di mana para pengunjung berpeluang melihat teknik penyediaan ubat kapsul.

Seawal jam 11 pagi, pihak Fakulti Farmasi telah ke SKBL dengan tiga buah kenderaan masing-masing. Persediaan tempat dan kelengkapan seperti meja pameran telah disediakan oleh pihak SKBL dengan bantuan Guru Penolong Kanan SKBL, Cikgu Abdullah. 15 minit masa diperuntukkan untuk penyediaan bahan pameran yang bertempat di dewan terbuka SKBL.

Dua sesi telah diatur oleh pihak SKBL untuk para pengunjung mengunjungi gerai pameran Fakulti Farmasi. Sesi yang pertama, bermula jam 11.30 pagi se- hingga 1.30 petang adalah untuk para pelajar dan guru yang berkelapangan untuk hadir mengunjungi gerai pameran. Pelajar yang terdiri dari tahun satu hingga enam memberikan respon yang sangat memberangsangkan terhadap pameran yang disediakan. Selain daripada mendengar penerangan daripada mahasiswa/i Fakulti Farmasi yang bertugas, para pelajar turut berpeluang menggunakan beberapa peralatan pameran seperti stethoscope dan tensimeter digital. Dapat dilihat di gerai pameran penyediaan ubat-ubatan, para pelajar sangat tertarik dengan pertunjukan oleh mahasiswa fakulti farmasi yang bertugas sehingga ada yang menyatakan hasrat untuk turut menyambung pelajaran dalam bidang farmasi.

Sesi kedua, bermula jam dua petang, adalah kepada pihak ibu bapa yang hadir untuk mengunjungi gerai pameran. Kebanyakan ibu bapa yang hadir terdiri daripada golongan yang berusia dan yang berkerjaya. Bagi golongan ibubapa pula, bahagian pameran utama lebih menjadi tumpuan di mana mereka berpeluang menguji tekanan darah menggunakan tensimeter digital yang dipamerkan.

Sesi pameran telah berakhir pada jam tiga petang. Hasil daripada pameran ini telah berjaya memberi pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa serta mahasisiwi Fakulti Farmasi berkaitan tugas sebagai pegawai farmasi dan meningkatkan kemahiran sosial bersama komuniti awam. Tambahan pula, program ini sedikit sebanyak telah membuka mata komuniti bahawa kerjaya sebagai seorang ahli farmasi juga memberi sumbangan penting dalam bidang kesihatan. Pihak SKBL sangat berterima kasih kepada pihak Fakulti Farmasi atas kerjasama yang diberikan dan berharap agar program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.

PROGRAM MOBILITI ‘INTERNATIONAL VIRTUAL EXCHANGE LECTURE’

PROGRAM MOBILITI ‘INTERNATIONAL VIRTUAL EXCHANGE LECTURE’

Dalam situasi negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19, pihak Fakulti Farmasi telah mengambil inisiatif melaksanakan program mobiliti secara dalam talian iaitu International Virtual Exchange Lecture melibatkan kerjasama di antara Fakulti Farmasi UniSZA dengan Fakultas Farmasi, Universitas Padjadjaran, Indonesia (UNPAD).

Program yang berlangsung pada 17 April dan 22 Mei 2022 ini melibatkan dua sesi kuliah yang disampaikan melalui aplikasi Zoom Meeting. Kursus yang terlibat adalah Pharmaceutical Analysis (PHM20703) dimana kursus ini turut ditawarkan oleh Fakultas Farmasi UNPAD pada semester yang sama (Quality Control of Pharmaceutical Dosage Forms). Bagi tujuan pengantarabangsaan, sesi pembelajaran turut memberi tumpuan kepada elemen perkongsian budaya dan antara aktiviti yang dicadangkan adalah kuiz bahasa, coretan sejarah negara, klip video budaya tarian, makanan dan/atau lagu berunsur kebudayaan yang bersesuaian dan bermanfaat untuk kedua-dua pihak.

Antara topik yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak adalah Introduction to HPLC oleh Dr. Holis Abdul Halik, Fakultas Farmasi UNPAD, yang dikendalikan pada 17 April 2022, manakala Gas Chromatography in Pharmaceutical Industry oleh Dr. Syaliza binti Omar, Fakulti Farmasi UniSZA, dikendalikan pada 22 Mei 2022.

Inisiatif pelaksanaan program ini adalah untuk memupuk pembelajaran dalam talian secara global sebagai sebahagian dari usaha non-credited virtual mobility (inbound & outbound) bagi mewujudkan budaya pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar serta kolaborasi pengajaran holistik yang bersifat merentas budaya dan benua.

PENGANJURAN PROGRAM KUIZ ‘BEAT THE CANCER’

PENGANJURAN PROGRAM KUIZ ‘BEAT THE CANCER’

Program Kuiz BEAT THE CANCER’ adalah program berbentuk kuiz berkenaan isu kanser yang dijalankan pada 14 Ogos 2021; pukul 3.30- 3.45 petang. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fakulti Farmasi UniSZA (PHARMSA). Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang masalah kesihatan kanser serta memberi kesederan mengenai impak negatif isu ini. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membentuk moral dan nilai etika yang tinggi dalam kalangan pelajar. Program ini telah dikendalikan oleh ahli jawatankuasa PHARMSA dan disertai pelajar Tingkatan 4-5, Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, Besut, Terengganu.

Program dimulakan dengan perkongsian pautan ‘Whatsapp group’ kepada para peserta. Maklumat- maklumat penting dikongsikan dari semasa ke semasa dalam ‘Whatsapp group’

tersebut. Pada 14 Ogos 2021 iaitu pada hari program, peserta mula menyertai kuiz pada pukul 3.10- 3.20 petang melalui pautan Quizziz yang telah dikongsikan. Kemudian, pada pukul 3.30 petang, program kuiz telah bermula dan berlangsung selama 15 minit. Program telah tamat pada pukul 3.45 petang dengan pengumuman pemenang kuiz. Borang maklum balas kemudian diedarkan kepada para peserta dalam bentuk ‘Google Form’.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar di samping mencapai matlamat dan tujuan program. Di samping itu, sifat kerjasama dan nilai kepimpinan dapat diterapkan melalui program ini. Akhir kata, ribuan terima kasih diucapkan kepada Pejabat Timbalan Naib Censelor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), HEPA UniSZA untuk memberi kelulusan dan bersama-sama menjayakan program ini. Rentetan itu, jutaan penghargaan diucapkan kepada para peserta yang telah memberikan sokongan padu sempena program ini dilaksanakan. Adalah diharapkan program seumpana ini dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang serta mendapat sambutan daripada pelbagai pihak.

CERAMAH FARMASI BERSAMA MASYARAKAT

CERAMAH FARMASI BERSAMA MASYARAKAT: PENGGUNAAN RAWATAN TRADISIONAL & KOMPLIMENTARI DALAM PENJAGAAN BERAT BADAN

Masalah obesiti dan berat badan berlebihan di Malaysia semakin berleluasa dan boleh dialami oleh segenap umur, jantina mahupun taraf sosial. Isu ini menjadi topik yang tidak asing lagi yang sering dipaparkan pada dada-dada akhbar, kaca televisyen mahupun media sosial. Masalah ini makin membimbangkan berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan semua orang perlu duduk di rumah. Rata-rata masyarakat mengalami pertambahan berat kerana kekerapan aktiviti memasak di rumah. Oleh hal yang demikian, Fakulti Farmasi UniSZA telah menganjurkan sebuah Program Ceramah Bersama Masyarakat pada 29 September 2021 terhadap staf Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Kelantan.

Ceramah yang bertajuk “Penggunaan Rawatan Tradisional & Komplimentari Dalam Penjagaan Berat Badan” yang telah disampaikan oleh Cik Nurul Afiedia binti Roslim, pelajar siswazah (PhD), UniSZA. Ceramah ini dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet. Sesi ceramah selama satu jam ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta.

Banyak perkongsian baharu yang telah disampaikan oleh Cik Nurul Afiedia kepada para peserta. Sebagai contoh, pendedahan berkenaan dengan kaedah rawatan tradisional dan komplimentari yang digunakan untuk mencegah atau menjaga kesihatan, selain perawatan konvensional. Antara contoh kaedah rawatan ini adalah seperti produk herba atau makanan tambahan, terapi minda-badan, terapi manipulatif-badan, terapi menggunakan tenaga dan perubatan tradisional. Akan tetapi, penceramah lebih berfokus kepada kaedah rawatan terapi minda-badan iaitu terapi hipnoterapi. Terapi hipnoterapi adalah salah satu penggunaan teknik kawalan minda bawah sedar (hipnosis) dalam rawatan penyakit, masalah psikologi dan sebagainya. Kaedah terapi ini berkesan untuk mengubah tabiat pemakan sekaligus mengurangkan pengambilan kalori dan meningkatkan aktiviti fizikal. Oleh itu, kaedah ini menjadi satu kaedah yang dapat digunakan dan membantu peserta untuk mengurangkan masalah berat badan.

Justeru, ceramah ini secara tidak langsung dapat membantu peserta untuk menjaga kesihatan bagi menangani masalah obesiti daripada meruncing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ceramah sebegini akan diteruskan dan diperbanyakkan lagi pada masa akan datang agar kerjasama UniSZA – Masyarakat akan dapat dimanfaatkan berteraskan moto 'Ilmu Demi Faedah Insan'.

 

VIRTUAL WORKSHOP ON BIOSTATISTICS: LOGICS AND TECHNIQUES FOR PHARMACY & HEALTH SCIENCES

VIRTUAL WORKSHOP ON BIOSTATISTICS: LOGICS AND TECHNIQUES FOR PHARMACY & HEALTH SCIENCES

Fakulti Farmasi UniSZA telah menganjurkan Virtual Workshop On Biostatistics: Logics And Techniques For Pharmacy & Health Sciences pada 3 dan 19 Ogos 2021 secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Bengkel ini disertai oleh 53 orang peserta dari dalam dan luar UniSZA. Sesi bengkel disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Dr. Syed Hatim Noor @ Nyi Nyi Naing. Prof Syed Hatim juga merupakan Pengerusi UniSZA Human Research Ethics Committee (UHREC) dan seorang pakar dalam bidang biostatistik serta telah banyak menghasilkan kajian dalam pelbagai jurnal berkaitan kesihatan dan perubatan.

Bengkel ini merupakan bengkel pengenalan kepada biostatistik dan sesuai untuk para penyelidik muda yang ingin berkecimpung dalam kajian berkaitan kesihatan dan perubatan. Antara tajuk yang dibentangkan adalah descriptive statistics, inferential statistics, numerical & categorical data analyses, correlation dan simple linear regression.

Secara kesimpulannya, para peserta amat berpuas hati kerana banyak maklumat dan pengetahuan yang dapat dikongsikan oleh penceramah pada bengkel pada kali ini. Pihak fakulti bercadang untuk mengadakan bengkel intermediate/advance dalam biostatistik pula pada masa akan datang.