TIGA PELAJAR UniSZA TERIMA BIG PHARMACY SCHOLARSHIP 2024
Petaling Jaya - Tiga pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) dari Fakulti Farmasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah terpilih sebagai penerima Big Pharmacy Scholarship sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan komitmen mereka dalam bidang pengajian.
Majlis menandatangani penganugerahan Big Pharmacy Scholarship 2024 ini berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 17 Disember 2024, di Caring Pharmacy HQ, Petaling Jaya.
Penaja bagi biasiswa ini adalah Big Pharmacy yang merupakan rangkaian farmasi terkemuka dan dipercayai di Malaysia.
Penerima biasiswa tersebut adalah Nur Iffah binti Md Ariaf, Nor Emiera Adila binti Mohd Ruzmi, dan Noor Irdina Sufia binti Mohammad Bukhari.
Kejayaan ini turut menyaksikan penerima dari institusi lain iaitu dua orang masing-masing dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), University of Cyberjaya (UoC) dan Monash University serta seorang penerima dari Universiti Malaya (UM).
Penganugerahan ini melibatkan pemberian biasiswa berjumlah RM30,000 sepanjang tempoh pengajian (4 tahun).
Selain itu, penerima biasiswa ini akan menjalani kontrak selama empat tahun selepas bergraduat, yang merangkumi satu tahun sebagai Ahli Farmasi Provisional (PRP) dan tiga tahun sebagai Ahli Farmasi Berpendaftaran Penuh (FRP).
Majlis turut dihadiri Dekan Fakulti Farmasi UniSZA, Prof. Dr. Lua Pei Lin, yang menyaksikan detik bersejarah ini sebagai tanda sokongan terhadap pencapaian para pelajar.
Pencapaian ini jelas membuktikan komitmen Fakulti Farmasi UniSZA dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga penerima atas kejayaan yang amat membanggakan ini.

