logoFarmasi2
Sunday, 18 May 2025
20 Dhu al-Qi'dah 1446

UniSZA & MULTICARE HEALTH PHARMACY PERKUKUH SINERGI BERSAMA MELALUI MoU: LANGKAH STRATEGIK DALAM KEMAJUAN BIDANG FARMASEUTIKAL, AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

4 November 2024 | Kuala Nerus
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Farmasi (FF) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Multicare Health Pharmacy (MHP) yang bernaung di bawah Sunway Multicare Pharmacy (SMP) dalam majlis yang berlangsung di UniSZA Kampus Gong Badak, hari ini.
Bagi pihak UniSZA, dokumen MoU ini telah dimeterai oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam (Naib Canselor) dan YBrs. Prof. Ts. Dr. Shukor Abd Razak (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UniSZA), manakala bagi pihak MHP pula telah ditandatangani oleh YBrs. Encik Wan Sheng-Li (Eksekutif Pembangunan Perniagaan) dan YBrs. Encik Danny Lim Chin Kar (Eksekutif Peruncitan Kanan).
Pemeteraian ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam akademik dan penyelidikan khususnya dalam bidang farmaseutikal, di samping membentuk hubungan strategik yang dapat menyokong peningkatan kemahiran dan inovasi.
Kerjasama ini sangat bertepatan kerana ia menggabungkan kepakaran UniSZA dan SMP pada satu platform sinergi yang akan menyumbang kepada perkembangan teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal. MoU ini diharap dapat memperkaya proses pembelajaran yang berorientasikan pengalaman industri dan membuka peluang yang luas untuk menjalankan penyelidikan bersama.
Komitmen kedua-dua pihak melalui MoU ini melibatkan pelaksanaan pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti penyelidikan kolaboratif, perkongsian maklumat, pengembangan kepakaran, serta inisiatif inovatif yang lain. Dengan adanya jalinan ini, diharapkan bukan sahaja kualiti akademik dan penyelidikan dapat diperkasakan, malah manfaat besar dapat disalurkan kepada masyarakat, terutamanya dalam aspek peningkatan akses kepada penjagaan kesihatan farmaseutikal yang berkualiti.
Selain itu, kerjasama ini turut menjadi asas untuk menerokai ruang kerjasama strategik pada masa depan yang lebih erat, efektif, dan produktif dalam meningkatkan kecemerlangan akademik serta mendorong inovasi sejajar dengan keperluan industri dan komuniti.
Majlis pemeteraian yang bersejarah ini turut disertai oleh Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas (Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniSZA), Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA), Encik Muzafar bin Mohd Din (Pendaftar UniSZA), Encik Suhaili bin Mohd (Bendahari UniSZA), Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani Ahmad Saany (Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA), Prof. Dr. Mohd Nordin bin Abdul Rahman (Penolong Naib Canselor (Ketua Pegawai Digital)), Prof. Dr. Lua Pei Lin (Dekan FF UniSZA), Timbalan Dekan FF UniSZA, Encik Muhammad Arzaq Sahmi Shahmie bin Sakri (wakil ahli farmasi SMP), serta para pensyarah Fakulti Farmasi UniSZA.