logoFarmasi2
Sunday, 18 May 2025
20 Dhu al-Qi'dah 1446

Program Khidmat Masyarakat ‘Home Medication Review’ 2024 (Siri 6) Dan Karnival Kesihatan Sempena Program Amalan Cakna Ubat (PACU)

Fakulti Farmasi UniSZA telah menganjurkan Program Amalan Cakna Ubat (PACU) pada 9 Mei 2024 (Khamis) bertempat di Dewan Terbuka Dato A. Rahim, Kampung Kayu Kelat, Jerteh. PACU merupakan program SULAM (Service Learning Malaysia University for Society); merupakan salah satu program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dimana ianya ialah integrasi akademik dengan khidmat masyarakat. Program ini menggabungkan Aktiviti Khidmat Masyarakat Fakulti Farmasi 2024 (Siri 6) yang merupakan program mercu (‘flagship’) Fakulti Farmasi berserta Karnival Kesihatan yang melibatkan Hospital Setiu dan Big Pharmacy.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Dr. Lua Pei Lin, Dekan Fakulti Farmasi UniSZA pada jam 9.30 pagi dan berakhir dengan majlis perasmian penutup oleh YBrs. Dr. Zalina Zahari, Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah) Fakulti Farmasi UniSZA pada jam 1.00 petang.

Program bermula dengan pelepasan konvoi petugas dan pelajar ke rumah pesakit. Seramai 32 orang pelajar tahun akhir Fakulti Farmasi terlibat dalam program Aktiviti Khidmat Masyrakat (Siri 6) bersama dengan 10 orang Pegawai Farmasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, pensyarah Fakulti Farmasi dan masyarakat setempat Kampung Kayu Kelat. Program ini memberikan pendedahan kepada pelajar farmasi untuk menimba pengalaman dalam berinteraksi bersama orang awam di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti Khidmat Masyarakat (Siri 6) menekankan pendedahan tentang keselamatan pengubatan dan secara tidak langsung memberikan kefahaman kepada para peserta HMR tentang ubat-ubatan yang diambil oleh mereka. Program ini sejajar dengan matlamat UniSZA sebagai sebuah universiti awam untuk pelbagai lapisan masyarakat. Keselamatan Pengubatan juga adalah salah satu matlamat yang telah disenaraikan dalam Malaysian Patient Safety Goals. Bagi mencapai matlamat keselamatan pesakit, penerangan kepada pesakit perlu bagi mencegah daripada berlakunya kesilapan pengubatan.

Pelbagai aktiviti dijalankan semasa karnival seperti jualan barangan kesihatan dan saringan kesihatan percuma oleh Big Pharmacy, kaunter kenali ubat anda dan sesi kaunseling oleh Hospital Setiu serta pemeriksaan kandungan gula dalam darah, tekanan darah dan pameran serta sesi kaunseling oleh Fakulti Farmasi berkenaan dengan ubat-ubatan dan amalan pemakanan yang sihat kepada masyarakat setempat. Selain itu juga, kanak-kanak daripada 3 buah tabika dijemput hadir untuk turut sama menyertai pertandingan mewarna yang dianjurkan.

Program ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat setempat. Secara kesimpulannya, masyarakat setempat berpuas hati dengan pameran dan aktiviti yang diadakan kerana banyak maklumat dan pengetahuan yang dapat diperoleh melalui Program Amalan Cakna Ubat (PACU) ini