logoFarmasi2
Sunday, 18 May 2025
20 Dhu al-Qi'dah 1446

White Coat Ceremony Fakulti Farmasi 2024

Fakulti Farmasi UniSZA telah mengadakan White Coat Ceremony pada 30 April 2024 di Dewan Auditorium Ibnu Khaldun, UniSZA Kampus Besut. Majlis ini merupakan simbolik bagi meraikan pelajar Tahun 3 program Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) yang akan menjalani sangkutan hospital. Acara ini turut dihadiri oleh pensyarah, staf fakulti dan semua pelajar Tahun 3.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian daripada Dekan Fakulti Farmasi, Prof. Dr. Lua Pei Lin yang menekankan kepentingan peranan ahli farmasi dalam penjagaan kesihatan serta tanggungjawab yang bakal digalas oleh pelajar-pelajar ini. Beliau juga memberikan kata-kata semangat dan dorongan kepada para pelajar agar sentiasa berusaha dengan gigih dan berpegang kepada etika professional semasa menjalani sangkutan di hospital.

Seterusnya majlis diteruskan dengan acara utama majlis ini iaitu penyarungan kot putih kepada setiap pelajar oleh pensyarah. Penyematan kot putih ini melambangkan peralihan pelajar daripada pengajian teori di bilik kuliah kepada pengalaman praktikal di hospital, sekaligus memperkukuh komitmen mereka terhadap profesion farmasi.

Selepas acara penyarungan kot putih, majlis diteruskan dengan pembacaan ikrar oleh para pelajar yang diketuai oleh Muhammad Waie bin Ahmad Nazori, yang mana mereka berjanji untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti dan dedikasi. Ini diikuti dengan sesi fotografi untuk merakamkan kenangan majlis tersebut.

White Coat Ceremony ini merupakan langkah penting dalam perjalanan akademik pelajar Farmasi bagi menandakan permulaan fasa baru dalam latihan klinikal mereka. Pelajar-pelajar yang diraikan kelihatan bersemangat dan berazam untuk memberikan yang terbaik semasa menjalani latihan praktikal di hospital nanti.