logoFarmasi2
Jumaat, 19 April 2024
10 Syawwal 1445

PAMERAN UBAT-UBATAN DI SK BETING LINTANG

PAMERAN UBAT-UBATAN DI SK BETING LINTANG

BESUT, 26 Jun 2022 - Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah dijemput oleh pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Beting Lintang, Besut (SKBL) untuk membuat pameran ubat-ubatan, peralatan penyediaan ubat dan beberapa kelengkapan health screening seperti stethoscope, tensimeter digital dan termometer. Pameran ini dijalankan dengan bantuan sembilan orang pelajar Fakulti Farmasi dan diiringi oleh dua orang pensyarah.

Pameran ini diadakan sebagai aktiviti sampingan sempena Majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SKBL yang dihadiri oleh para pelajar, ibubapa dan guru-guru. Sebanyak empat buah gerai pameran yang disediakan terdiri daripada pameran utama yang menyediakan beberapa kelengkapan health screening, pameran syrup compounding station yang menyediakan demonstrasi teknik penyediaan ubat cecair, pameran insulin and injection station yang mempamerkan ubat insulin dan teknik menggunakannya serta pameran tablet and capsule station di mana para pengunjung berpeluang melihat teknik penyediaan ubat kapsul.

Seawal jam 11 pagi, pihak Fakulti Farmasi telah ke SKBL dengan tiga buah kenderaan masing-masing. Persediaan tempat dan kelengkapan seperti meja pameran telah disediakan oleh pihak SKBL dengan bantuan Guru Penolong Kanan SKBL, Cikgu Abdullah. 15 minit masa diperuntukkan untuk penyediaan bahan pameran yang bertempat di dewan terbuka SKBL.

Dua sesi telah diatur oleh pihak SKBL untuk para pengunjung mengunjungi gerai pameran Fakulti Farmasi. Sesi yang pertama, bermula jam 11.30 pagi se- hingga 1.30 petang adalah untuk para pelajar dan guru yang berkelapangan untuk hadir mengunjungi gerai pameran. Pelajar yang terdiri dari tahun satu hingga enam memberikan respon yang sangat memberangsangkan terhadap pameran yang disediakan. Selain daripada mendengar penerangan daripada mahasiswa/i Fakulti Farmasi yang bertugas, para pelajar turut berpeluang menggunakan beberapa peralatan pameran seperti stethoscope dan tensimeter digital. Dapat dilihat di gerai pameran penyediaan ubat-ubatan, para pelajar sangat tertarik dengan pertunjukan oleh mahasiswa fakulti farmasi yang bertugas sehingga ada yang menyatakan hasrat untuk turut menyambung pelajaran dalam bidang farmasi.

Sesi kedua, bermula jam dua petang, adalah kepada pihak ibu bapa yang hadir untuk mengunjungi gerai pameran. Kebanyakan ibu bapa yang hadir terdiri daripada golongan yang berusia dan yang berkerjaya. Bagi golongan ibubapa pula, bahagian pameran utama lebih menjadi tumpuan di mana mereka berpeluang menguji tekanan darah menggunakan tensimeter digital yang dipamerkan.

Sesi pameran telah berakhir pada jam tiga petang. Hasil daripada pameran ini telah berjaya memberi pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa serta mahasisiwi Fakulti Farmasi berkaitan tugas sebagai pegawai farmasi dan meningkatkan kemahiran sosial bersama komuniti awam. Tambahan pula, program ini sedikit sebanyak telah membuka mata komuniti bahawa kerjaya sebagai seorang ahli farmasi juga memberi sumbangan penting dalam bidang kesihatan. Pihak SKBL sangat berterima kasih kepada pihak Fakulti Farmasi atas kerjasama yang diberikan dan berharap agar program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.