logoFarmasi2
Thursday, 09 December 2021
4 Jumada al-awwal 1443

CERAMAH FARMASI BERSAMA MASYARAKAT

CERAMAH FARMASI BERSAMA MASYARAKAT: PENGGUNAAN RAWATAN TRADISIONAL & KOMPLIMENTARI DALAM PENJAGAAN BERAT BADAN

Masalah obesiti dan berat badan berlebihan di Malaysia semakin berleluasa dan boleh dialami oleh segenap umur, jantina mahupun taraf sosial. Isu ini menjadi topik yang tidak asing lagi yang sering dipaparkan pada dada-dada akhbar, kaca televisyen mahupun media sosial. Masalah ini makin membimbangkan berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan semua orang perlu duduk di rumah. Rata-rata masyarakat mengalami pertambahan berat kerana kekerapan aktiviti memasak di rumah. Oleh hal yang demikian, Fakulti Farmasi UniSZA telah menganjurkan sebuah Program Ceramah Bersama Masyarakat pada 29 September 2021 terhadap staf Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Kelantan.

Ceramah yang bertajuk “Penggunaan Rawatan Tradisional & Komplimentari Dalam Penjagaan Berat Badan” yang telah disampaikan oleh Cik Nurul Afiedia binti Roslim, pelajar siswazah (PhD), UniSZA. Ceramah ini dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet. Sesi ceramah selama satu jam ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta.

Banyak perkongsian baharu yang telah disampaikan oleh Cik Nurul Afiedia kepada para peserta. Sebagai contoh, pendedahan berkenaan dengan kaedah rawatan tradisional dan komplimentari yang digunakan untuk mencegah atau menjaga kesihatan, selain perawatan konvensional. Antara contoh kaedah rawatan ini adalah seperti produk herba atau makanan tambahan, terapi minda-badan, terapi manipulatif-badan, terapi menggunakan tenaga dan perubatan tradisional. Akan tetapi, penceramah lebih berfokus kepada kaedah rawatan terapi minda-badan iaitu terapi hipnoterapi. Terapi hipnoterapi adalah salah satu penggunaan teknik kawalan minda bawah sedar (hipnosis) dalam rawatan penyakit, masalah psikologi dan sebagainya. Kaedah terapi ini berkesan untuk mengubah tabiat pemakan sekaligus mengurangkan pengambilan kalori dan meningkatkan aktiviti fizikal. Oleh itu, kaedah ini menjadi satu kaedah yang dapat digunakan dan membantu peserta untuk mengurangkan masalah berat badan.

Justeru, ceramah ini secara tidak langsung dapat membantu peserta untuk menjaga kesihatan bagi menangani masalah obesiti daripada meruncing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ceramah sebegini akan diteruskan dan diperbanyakkan lagi pada masa akan datang agar kerjasama UniSZA – Masyarakat akan dapat dimanfaatkan berteraskan moto 'Ilmu Demi Faedah Insan'.