logoFarmasi2
Sunday, 20 June 2021
10 Dhu al-Qi'dah 1442

Rangka silibus pengajian farmasi komuniti

FARMASI komuniti adalah bidang farmasi paling hampir dengan masyarakat. Ahli farmasi komuniti memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan kaunseling kesihatan, menyampaikan maklumat berkaitan ubat-ubatan dan membekal ubat-ubatan di kedai farmasi.

Pemahaman berkaitan dos, cara dan masa pengambilan ubat penting bagi memastikan pesakit menggunakan ubat secara efektif, seterusnya mendapat manfaat sepenuhnya daripada pengambilan ubat itu.

Seperti bidang lain, pandemik COVID-19 turut memberi kesan kepada ahli farmasi komuniti. Majoriti pemilik farmasi komuniti menyatakan jumlah pelanggan berkunjung ke premis mereka menurun sejak pandemik melanda.

Ini didorong beberapa faktor, antaranya amalan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi pelanggan, selain bilangan pelanggan yang dihadkan kepada beberapa orang sahaja pada satu-satu masa untuk memasuki premis.

Pembelian secara dalam talian juga mencetus saingan bagi perniagaan farmasi komuniti. Harga lebih murah ditawarkan mengakibatkan pelanggan lebih tertarik dan memilih membeli ubat-ubatan secara dalam talian.

Kesedaran rendah mengenai kepentingan mendapatkan maklumat ubat-ubatan dan bahaya pembelian ubat tanpa konsultasi ahli farmasi bertauliah, mengakibatkan pembelian ubat-ubatan secara dalam talian terus berleluasa.

Farmasi komuniti juga menghadapi risiko terdedah individu positif COVID-19. Oleh itu, amalan SOP perlu diterapkan dan dipatuhi bagi menghadapi sebarang kemungkinan jangkitan dengan individu kontak rapat pesakit positif COVID-19.

Sekiranya ada individu positif COVID-19 mengunjungi farmasi komuniti, premis terpaksa ditutup untuk tujuan nyah jangkit sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Ia cabaran terbesar farmasi komuniti kerana kos operasi akan bertambah. Pekerja juga perlu mematuhi SOP dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka sepanjang waktu bekerja.

Cecair pembasmi kuman juga perlu disediakan untuk pelanggan sebelum mereka melangkah ke premis farmasi komuniti. Perkara ini menyumbang peningkatan kos operasi, apatah lagi kadar jualan berkurangan.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga ada sesetengah premis komuniti farmasi ditutup bagi mematuhi arahan kerajaan. Waktu perniagaan singkat juga mempengaruhi kadar jualan dan kurangnya kunjungan pelanggan ke premis farmasi komuniti.

Farmasi komuniti juga perlu memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi dan isu peningkatan harga ubat-ubatan turut mencetus kesukaran.

Bekalan ubat-ubatan tidak mencukupi memberi kesan terhadap harga kerana tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan. Pelanggan akan berasa tidak berpuas hati dengan harga baharu dikenakan.

Selain itu, ada bekalan ubat-ubatan terhad dan kelewatan dari segi penghantaran ke farmasi komuniti, terutama bagi kedai berada di luar bandar.

Walaupun ada pelbagai cabaran, farmasi komuniti tetap berusaha berikan perkhidmatan terbaik bagi menyampaikan maklumat tepat dan terkini kepada masyarakat, sekali gus berperanan sebagai pembekal ubat-ubatan beretika dan profesional.

Mengambil kira kepentingan bidang farmasi komuniti, latihan terperinci kian ditekankan dalam kurikulum ijazah farmasi yang disediakan di institusi pengajian tinggi (IPT) masa kini.

Bagi melengkapkan tujuan ini, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai contoh, memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) khusus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti.

Kohort pertama menjejakkan kaki di Kampus Besut pada September 2019 dan kini ada dua kohort mengikuti pengajian mereka.

Selaku institusi yang ingin memberikan kebajikan kepada masyarakat, UniSZA melalui Fakulti Farmasi menerapkan program Home Medication Review (HMR).

Ia adalah program mercu komuniti untuk memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di sekeliling, sebagai usaha pemantauan kesihatan dan ubatan secara berkala dan teratur.

PROF. DR. LUA PEI LIN

Dekan Fakulti Farmasi,

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)