logoFarmasi2
Thursday, 30 November 2023
17 Jumada al-awwal 1445

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN UniSZA – INSTITUT PERTANIAN BOGOR DAN LAWATAN KERJA KE UNIVERSITAS PADJADJARAN

4-5 Jan 2018 - Usaha-usaha gigih UniSZA dalam memperkembangkan jalinan kerjasama antarabangsa semakin terbukti dengan termeterai lagi sebuah Memorandum Persefahaman dengan salah sebuah institusi pertanian yang tersohor di Asia iaitu Institut Pertanian Bogor (IPB). Majlis ini telah berlangsung dengan penuh ikatan kemesraan di IPB, Bogor, Indonesia pada 4 Januari lalu. Proses pertukaran dokumen di antara YBrs. Prof. Madya Dr. Khamsah Suryati Mohd, Pengarah UniSZA Kampus Besut merangkap Dekan Fakulti Biosumber Dan Industri Makanan (FBIM) (yang mewakili Naib Canselor UniSZA) dengan YBrs. Dr. Arif Satria, Rektor IPB telah disaksikan oleh YBhg. Brig. Jeneral Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniSZA beserta pegawai-pegawai utama IPB.

Selesai majlis utama ini, para rombongan UniSZA turut berpeluang meninjau produk-produk komersilan pertanian yang telah dihasilkan dan dipasarkan oleh IPB untuk dijadikan proses penanda aras di UniSZA kelak. Di samping itu, satu sesi perbincangan lanjut telah diadakan di antara pihak UniSZA dan IPB (diwakili dekan/timbalan dekan fakulti) untuk menerangkan tentang aktiviti-aktiviti institusi masing-masing dan mencari ruang-ruang kolaborasi khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan yang boleh membawa manfaat bersama. Antaranya bidang agrotani, penternakan, teknologi makanan dan produk herba asli yang boleh dibangunkan di UniSZA.
Selain majlis di IPB tersebut, rombongan UniSZA turut meneruskan misi jaringan antarabangsanya dengan lawatan kerja ke Universitas Padjadjaran (UNPAD) di Bandung, Indonesia pada 5 Januari 2018. Misi ini merupakan susulan kepada memorandum persefahaman yang telah ditandatangani oleh Instutit Kajian Alam Sekitar (ESERI) UniSZA dengan Fakultas Matematika Dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) UNPAD pada November 2017. Selain disambut mesra oleh Dekan FMIPA, Prof. Dr. Sudradjat dalam lawatan kali ini, turut serta juga ialah Dekan Fakultas Farmasi, Prof. Dr. Ajeng Diantini yang telah berbincang lanjut dengan ahli rombongan UniSZA yang mewakili Fakulti Farmasi iaitu Prof. Dr. Lua Pei Lin, dengan diketuai oleh YBhg. Brig. Jeneral Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Antara lain, perbincangan ini berkisar tentang bentuk-bentuk kerjasama yang berpotensi dimajukan oleh kedua-dua fakulti yang menawarkan program profesional kesihatan ini – termasuklah pelawaan dua-hala untuk mendaftar sebagai pelajar siswazah, kolaborasi penyelidikan dan penerbitan bersama, lantikan profesor adjung atau pelawat dalam sub-bidang farmasi tertentu (contohnya, Amalan Farmasi dan Telehealth) sebagai pelengkap kepada sub-bidang yang masih diperlukan di fakulti masing-masing. YBhg. Datuk Pengerusi LPU turut berbesar hati mencadangkan agar semua perkara positif yang telah dirancang ini dititipkan secara rasmi dalam Memorandum Perjanjian (MoA) seterusnya pula. Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan jamuan ringkas yang disediakan tuan rumah dalam suasana penuh keakraban. Secara keseluruhannya, kedua-dua aktiviti di Bogor dan Bandung ini telah membuka pelbagai ruangan kerjasama akademik dan penyelidikan yang bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak demi melonjakkan lagi mutu pengajian tinggi di rantau ini.

27072521 2113101148923046 7818386125805009597 n