logoFarmasi2
Jumaat, 29 Mac 2024
19 Ramadan 1445

PROGRAM CERAMAH FARMASI BERSAMA KOMUNITI SEKOLAH

Kuala Nerus – Penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa tidak lagi tertumpu pada golongan dewasa, malah remaja yang masih berada di bangku sekolah juga turut terlibat. Isu ini menjadi topik yang kerap kali dipaparkan di dada-dada akhbar mahupun kaca televisyen. Oleh yang demikian, pada 17 Ogos 2021, Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif mengadakan program Ceramah Farmasi “Penagihan Dadah: Kaedah Kejiwaan Inabah dalam Pencegahan & Rawatan” kepada para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, Jerteh, Terengganu di mana kedua-dua buah sekolah ini merupaka Sekolah Angkat Fakulti Farmasi.

Ceramah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Manam bin Mohamad, pensyarah Pusat Pengajian Teras, UniSZA ini dilaksanakan secara dalam talian (aplikasi Cisco Webex) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. Perkongsian ilmu selama satu jam ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para guru dan pelajar, dimana bilangan penyertaan adalah seramai 186 orang

Banyak perkongsian dan ilmu baharu yang telah disampaikan penceramah, di antaranya pendedahan berkenaan kaedah rawatan kejiwaan Inabah yang kurang disebut dan disiarkan di platform berita. Seperti yang diketahui, kaedah rawatan yang sering didengari adalah rawatan rehabilitasi (Pusat Serenti/AADK Cure & Care Centre), rawatan kaunseling dan sebagainya. Akan tetapi, kaedah rawatan Inabah ini makin berkembang di Malaysia dan sudah terbukti keberkesanannya kepada penagih dadah yang telah berjaya mendapatkan dan menjalani rawatan di pusat-pusat Inabah. Inabah merupakan satu kaedah rawatan pemulihan penagihan dadah menerusi pendekatan kejiwaan. Perkataan inabah itu sendiri membawa maksud “Kembali” yang merujuk kepada perubahan sifat dalaman manusia, iaitu perubahan daripada sifat buruk kepada sifat yang baik. Oleh itu, kaedah ini menjadi satu alternatif dalam membantu memperbaiki akhlak dan “kenakalan” pelajar.

Ceramah ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan najis dadah yang bukan sahaja memberi kesan yang negatif kepada diri pelajar, malah turut mempengaruhi keluarga, masyarakat dan negara. Ceramah sebegini akan diteruskan dan diperbanyakkan lagi pada masa akan datang untuk untuk manfaat komuniti dan masyarakat Terengganu khususnya, berteraskan moto ‘Ilmu Demi Faedah Insan’.